Kelas ICT (Pendaftaran & Pengenalan kepada Akaun Gmail)
3 Februari 2021 | Aktiviti TerkiniBerikutan berlakunya peningkatan angka dalam penularan Pandemik Covid 19, kerajaan telah memutuskan untuk menangguhkan sesi pembelajaran secara bersemuka yang sepatutnya bermula pada 20 Januari yang lalu dan hanya pelajar-pelajar yang terlibat dengan peperiksaan sahaja yang akan menjalani sesi pembelajaran secara bersemuka. Bagi pelajar-pelajar yang tidak terlibat dengan peperiksaan pula akan meneruskan pembelajaran secara atas talian sepanjang tempoh ini. Guru-guru telah mengaplikasikan pelbagai kaedah untuk memastikan pelajar-pelajar dapat mengikuti proses pembelajaran sebagaimana yang telah ditetapkan. Oleh hal yang demikian, terdapat beberapa cara yang dilaksanakan supaya pelajar-pelajar dapat menerima dan menghantar tugasan yang telah diberikan oleh guru-guru, antaranya adalah menggunakan platform email.
Pada tarikh 2 Februari yang lepas telah berlangsung Kelas ICT (Pendaftaran & Pengenalan kepada Akaun Gmail) yang melibatkan seorang pelajar Tingkatan empat yang ingin mendaftar akaun Gmail agar dapat menghantar dan menerima tugasan sekolah. Kelas ini juga merangkumi asas-asas kepada Gmail dan juga cara-cara untuk menggunakannya bagi tujuan tugasan sekolah. Kelas yang mengambil masa selama satu jam ini dilihat telah dapat membantu peserta untuk memahami dan mempelajari lebih banyak tentang kemudahan ICT.
Pengajar juga mengambil kesempatan ini untuk menyelitkan slot tentang Klik Dengan Bijak kepada peserta yang merupakan pengguna aktif di media sosial supaya tidak terdedah kepada bahayanya jenayah siber dan menggunakan platform media sosial dengan betul dan selamat.
Kelas yang berlangsung sepanjang tempoh PKP ini juga mengikut normal baharu dan SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan.
Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan: